GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Seorang lelaki terpaksa bermalam di dalam lokap selepas ditahan kerana melakukan provokasi terhadap anggota polis yang melakukan pemeriksaan di Seksyen 21/36 di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, anggota Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) Aberdeen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melakukan rondaan cegah jenayah di lokasi.

"Anggota bertugas menahan sepasang suami isteri menaiki motosikal Yamaha LC135 di lokasi terbabit dalam keadaan mencurigakan untuk pemeriksaan.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki berusia 27 tahun berkenaan enggan mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan kepada anggota polis.

"Malah, lelaki berkenaan melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat berbaur hinaan serta mengugut anggota polis bertugas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan lelaki itu menyebabkan dia ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah mengikut Seksyen 357 Kanun Keseksaan.

"Malah, semakan terhadap cukai jalan motosikal suspek juga didapati sudah tamat tempoh," katanya.

Katanya, suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 8:09 PM