Nurul Hidayah Bahaudin


SISTEM Rondaan ‘Aberdeen’ Kereta Peronda Polis (MPV) menjadi inisiatif terbaharu digunakan Polis Selangor bagi melakukan rondaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Petaling Jaya.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Petaling Jaya menjadi daerah pertama melaksanakan sistem berkenaan dalam usaha memastikan PKP fasa ketiga lebih efisien.

“Sistem ini membabitkan tiga anggota polis dan seorang anggota tentera untuk setiap pasukan akan membuat rondaan berjalan di lokasi tumpuan bagi tempoh enam jam setiap syif.

“Ketika ini, sistem berkenaan hanya dilaksanakan di Petaling Jaya, namun ia akan diperkembangkan di daerah lain selepas melihat keberkesanan pelaksanaannya di daerah ini terlebih dahulu,” katanya selepas melancarkan sistem itu di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Arjunaidi berkata, antara lokasi pelaksanaan sistem rondaan itu adalah kawasan perumahan, premis perniagaan, pasar raya dan pasar awam di daerah ini.

“Kami sudah mengenal pasti beberapa lokasi sebagai kawasan panas bagi pelanggaran PKP di daerah ini yang akan menggunakan sistem rondaan berkenaan.

“Kami berharap sistem ini dapat membantu pelaksanaan PKP dengan lebih lancar di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sebanyak lapan pasukan bertugas dalam sistem berkenaan yang mula dilaksanakan hari ini.

ARJUNAIDI (kanan) beramah mesra dengan anggota polis dan tentera ketika majlis perasmian Sistem Rondaan 'Aberdeen' IPD Petaling Jaya di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ARJUNAIDI (kanan) beramah mesra dengan anggota polis dan tentera ketika majlis perasmian Sistem Rondaan 'Aberdeen' IPD Petaling Jaya di Balai Polis Damansara, Petaling Jaya, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

“Mereka akan bertugas untuk dua syif iaitu dari 8 pagi hingga 2 petang dan 2 petang hingga 8 malam.

“Setakat ini, kami mengenal pasti 12 lokasi di kawasan utara dan 14 lokasi lagi di kawasan selatan daerah ini yang akan dipantau menggunakan sistem Aberdeen,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 12:25 PM