Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh negeri kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis mungkin ditamatkan lebih awal jika penilaian risiko jangkitan Covid-19 berkurangan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang melakukan penilaian semula di negeri yang dikenakan PKPB.

"Ada yang bertanya adakah kawasan negeri tertentu akan ada penilaian semula, ya KKM sedang melakukan penilaian semula di negeri yang diisytiharkan PKPB.

"Saya percaya jika tidak ada kes baru, jangkaan keberangkalian jangkitan tidak berlaku dan penilaian risiko menunjukkan kawasan berkenaan tidak berisiko, kawasan berkenaan boleh ditamatkan lebih awal," katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu akan bergantung kepada penilaian risiko di negeri-negeri yang dikenakan PKPB.

"Jadi kita tengok (keputusan) penilaian itu nanti, bagaimanapun saya ingin mengingatkan supaya kita menjaga SOP yang ditetapkan," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 5:19 PM