GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 25 ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng TCB 21 yang aktif di Banting dan Dengkil, Selangor ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis sudah mengenal pasti Geng TCB 21 yang aktif melakukan jenayah serius di kawasan itu malah terbabit dalam kejadian tembak di Banting, September lalu.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, pada 13 hingga 14 Oktober lalu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman melancarkan satu operasi di sekitar Selangor dan menahan 29 ahli geng itu mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membenarkan tahanan selama 28 hari.

"Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara namun keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mendakwa mereka mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Huzir berkata, hasil siasatan, kumpulan itu adalah pertubuhan kongsi gelap yang aktif melakukan kesalahan jenayah serius seperti cubaan bunuh dengan menggunakan senjata api, melepaskan tembakan dalam rusuhan berkumpulan dan merompak.

"Mereka juga terbabit melakukan khianat dengan api iaitu membakar kereta, mesin excavator, melakukan pemerasan, mendatangkan cedera dan lain-lain.

"Polis mempunyai keterangan yang mencukupi untuk mengambil tindakan pencegahan jenayah kumpulan ini mengikut Poca dan menahan 25 ahli geng itu semalam," katanya.

Beliau berkata, tindakan bertujuan memastikan keamanan dan ketenteraman awam dapat dikekalkan serta memastikan kumpulan ini dapat dibanteras sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 12:24 PM