FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


SEORANG penjawat awam yang juga ketua kumpulan kongsi gelap ‘Geng Ayah Yie Tiger 99’ (AYT 99) antara 12 individu ditahan polis kerana terbabit dalam kumpulan jenayah terancang sejak 2012.

Penahanan lelaki berusia 39 tahun itu bersama orang kanan dan ahli kumpulannya berusia 24 hingga 49 tahun itu berjaya menyelesaikan beberapa kes didalangi mereka seperti serangan terhadap Inspektor polis di Klang dan bekas pemandu kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Untuk rekod, ahli kumpulan itu kebanyakannya berasal dari pantai timur terbabit pelbagai jenayah kekerasan seperti cubaan bunuh, ugutan dan pemerasan. Malah, mereka dilapor membakar kenderaan mangsa hanya kerana kes berlanggar bahu.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata, ahli kumpulan terbabit ditahan pada 22 dan 23 Januari lalu dalam operasi khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Unit Siasatan Jenayah Terancang (D14) dan Bahagian Operasi Khas (D8) JSJ Bukit Aman di Kelantan dan Klang.

Menurutnya, polis merampas tiga pistol bersama peluru hidup yang mana dua daripadanya (pistol) disahkan forensik digunakan dalam kes tembakan membabitkan bekas pemandu kepada Abdul Gani pada tahun 2017 di Pandan Indah, Ampang.

“Selain itu, pistol yang dirampas juga dikesan digunakan dalam kes tembakan ke atas seorang lelaki tempatan di Sungai Buloh serta kejadian (tembakan) di hadapan sebuah rumah di Klang.

“Kumpulan ini terbabit dalam serangan terhadap seorang lelaki disebabkan berebut mendapatkan hak mengawal tapak projek pembinaan. Mereka serang lelaki lain di restoran di Klang kerana kerana berselisih faham dengan rakan baik ketua kumpulan AYT 99 dan mendalangi beberapa serangan lain,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Huzir berkata, antara kes lain didalangi mereka seperti mencederakan ahli kumpulan Tiger Snook (Double Seven) di Klang serta menyerang pegawai polis berpangkat Inspektor pada 9 September tahun lalu di Pandamaran, Klang.

Mengulas lanjut, Huzir berkata, kumpulan terbabit menerima upah RM5,000 untuk membakar kereta milik warga Armenia yang berselisih faham selepas terlanggar bahu dengan ahli mereka.

“Siasatan juga mendapati ahli kumpulan ini menerima upah RM30,000 untuk menembak bekas pemandu Abdul Gani,” katanya, dua lagi ahli kumpulan itu adalah penjawat awam.

Huzir berkata, pihaknya sudah mengenalpasti dan sedang memburu lebih 20 ahli kumpulan AYT 99 dipercayai berasal dari Klang dan Pantai Timur, yang mempunyai pelbagai rekod jenayah.

“Mereka dijangka akan ditahan dalam masa terdekat berdasarkan maklumat dan risikan yang sedang dijalankan,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan mengikut Seskyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat mengikut Akta Keselamatan Langkah-Langkah 2012 (SOSMA 2012).

Untuk rekod, ketua dan pengikutnya akan dituduh di Mahkamah Majistret Klang, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 4:17 PM