Polis menjumpai pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan loteri haram. FOTO IHSAN POLIS
Polis menjumpai pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan loteri haram. FOTO IHSAN POLIS
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan penjualan loteri awam haram dengan penahanan 10 orang beberapa serbuan berasingan di daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan antara jam 1.20 tengah hari hingga 6.15 petang itu memfokuskan kegiatan penjualan loteri awam tanpa lesen di kawasan pentadbiran Balai Polis Sea Park, Kelana Jaya, Sungai Way dan Petaling Jaya.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada lima warga tempatan termasuk seorang wanita dan lima lelaki warga asing berusia antara 27 hingga 59 tahun.

"Polis menjumpai pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu seperti 13 telefon bimbit, wang tunai RM816 dan barangan lain.

"Siasatan awal polis mendapati pasaran sindiket adalah dalam kalangan penduduk sekitar daerah ini dengan mensasarkan warga tempatan dan warga asing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, tiga suspek diberi jamin polis, enam direman dua hari manakala seorang lagi direman empat hari.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Siasatan lanjut dijalankan bagi melihat modus operandi dan dalang di sebalik kegiatan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 7:59 PM