KEADAAN di lokasi kemalangan. (Gambar kecil) Allahyarham Amirudin. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN di lokasi kemalangan. (Gambar kecil) Allahyarham Amirudin. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Pencuci kenderaan maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kilometer 18.9 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) dekat Plaza Tol Ampang di sini, semalam.

Mangsa, Amirudin Ahmad Abdullah, 20-an, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima panggilan kejadian pada 11.45 malam.

"Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC menghala Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas dan melanggar tembok batu di tengah jalan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan terseret atas jalan menyebabkan mengalami kecederaan di muka dan kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Ampang.

Beliau berkata, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 6:44 PM