ANTARA penunggang motosikal warga asing yang ditahan dalam operasi di Tasik Tambahan Ampang, Ampang Jaya, semalam.
ANTARA penunggang motosikal warga asing yang ditahan dalam operasi di Tasik Tambahan Ampang, Ampang Jaya, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Lagak sekumpulan mat rempit warga asing yang 'mempamerkan' ekzos diubah suai dan berbunyi bising, mengundang padah apabila ditahan polis di sekitar Tasik Tambahan, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, penahanan mereka dalam operasi oleh pasukan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya yang bermula 9 malam semalam hingga 1 pagi hari ini.

Katanya, operasi digerakkan susulan aduan awam mengenai gangguan bunyi bising ekzos motosikal di lokasi terbabit.

"Hasil operasi kami menyita 18 motosikal termasuk lapan daripadanya yang ditunggang warga asing kerana pengubahsuaian ekzos," katanya dalam kenyataan.

Mohamad Farouk berkata, motosikal yang disita jenis Yamaha Lagenda, Yamaha 125Z, Yamaha 135LC, Honda CBR 250 dan Yamaha MT689 dan tindakan diambil mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 6(4) akta sama atas kesalahan pengubahsuaian ekzos selain tiada brek belakang.

"Kami menahan lapan penunggang motosikal warga Myanmar dengan empat daripada mereka adalah satu kumpulan (geng)," katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu pihaknya mengeluarkan 40 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya, antaranya tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 9:16 PM