GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengesyorkan beberapa langkah mengatasi kepadatan kesesakan di penjara dan depoh tahanan imigresen bagi membendung penularan Covid-19.

Pesuruhjaya SUHAKAM Jerald Joseph berkata, isu kesesakan adalah amat serius khususnya di penjara dan depoh tahanan imigresen di mana kapasiti di penjara adalah 53,830 dan jumlah banduan sekarang adalah 72,903 (sehingga 15 Oktober lalu).

Menurutnya, di depoh tahanan imigresen pula kapasiti adalah 12,530 dan jumlah tahanan pula menjangkau 15,163 (sehingga 1 Julai lalu).

"Masalah kesesakan biasanya menimbulkan banyak masalah lain seperti kekurangan ruang tidur, ruang aktiviti, akses kepada penjagaan kesihatan, akses kepada kemudahan dan peralatan serta tekanan mental.

"Risiko jangkitan Covid-19 juga meningkat dengan kepadatan jumlah tahanan kerana kurangnya ruang untuk pengasingan atau kuarantin dalam tempatan, ketiadaaan penjarakan fizikal dan kekurangan kemudahan kesihatan dalam tempat tahanan," katanya pada sidang media secara maya di sini, hari ini.

Jerald berkata, selain banduan reman (yang belum dijatuhkan hukuman), satu lagi kumpulan yang menyumbang kepada kesesakan adalah banduan dagang iaitu mereka yang ditahan bagi kesalahan imigresen di mana sehingga 19 Oktober lalu terdapat seramai 2,054 banduan dagang yang selesai menjalani hukuman tetapi masih berada di penjara.

"Sehubungan itu, SUHAKAM mengesyorkan Jabatan Penjara Malaysia mengadakan perbincangan bersama Badan Kehakiman, Kementerian Dalam Negeri dan agensi berkaitan untuk membebaskan banduan reman bagi kesalahan ringan, non-violent atau pengguna dadah yang tidak berisiko kepada keselamatan awam dan khususnya mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik.

"Selain itu, banduan reman untuk kesalahan kecil atau kes yang berkaitan dengan masalah sosio-ekonomi dan banduan warga emas yang berpenyakit termasuk sakit mental juga dicadangkan untuk dibebaskan.

"Kita juga mengesyorkan membebaskan banduan dagang khususnya pemohon suaka dan pelarian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) kepada pihak UNHCR," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia pula disyorkan menghentikan semua operasi besar-besaran yang menangkap migran tanpa dokumen dan mencari langkah alternatif lain untuk menyelesaikan masalah ini seperti pemutihan atau pengampunan.

"Memberikan akses kepada pihak UNHCR untuk memproses dan memberikan kad UNHCR kepada mereka yang layak dan seterusnya membebaskan mereka dari tempat tahanan.

"Kita juga syorkan supaya tidak menempatkan kanak-kanak di tempat tahanan bersama-sama tahanan lain sebaliknya mencari alternatif lain bagi menempatkan mereka," katanya.

Katanya, SUHAKAM juga meminta kerajaan memberi ikat jamin tanpa wang tunai bagi mereka yang tidak mampu membayar wang ikat jamin, sokongan penjamin, melaporkan diri ke balai berhampiran dengan mekanisme yang bersesuaian ketika penularan Covid-19 ini dan lain-lain tindakan yang munasabah boleh diperkenalkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 2:24 PM