RAZALI (depan) ketika serbuan di pusat hiburan keluarga di Seri Kembangan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
RAZALI (depan) ketika serbuan di pusat hiburan keluarga di Seri Kembangan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Polis Daerah Serdang menyerbu 19 premis di daerah ini yang dipercayai terbabit dengan kegiatan perjudian tanpa lesen, perjudian dalam talan serta pelacuran dalam tempoh 24 jam menerusi Operasi Khas Dadu/Noda.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, serbuan itu dilakukan bermula 12 tengah malam semalam di Seri Kembangan, Puchong dan Kinrara.

"Daripada 19 serbuan dilakukan, 11 serbuan membabitkan judi dalam talian termasuk kejayaan terbaharu membongkar aktiviti perjudian mesin simulasi di Seri Kembangan.

"Tiga lagi serbuan pula membabitkan kegiatan pelacuran, manakala lima lagi serbuan berkaitan aktiviti judi tanpa lesen. Berdasarkan 19 serbuan itu, 12 daripadanya dilakukan di Seri Kembangan, Puchong (5) dan Kinrara (2)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai serbuan di pusat hiburan keluarga di Persiaran Serdang, Seri Kembangan, di sini, yang menjalankan kegiatan perjudian mesin simulasi, semalam.

Razali berkata, pihaknya menahan 88 individu membabitkan 48 individu yang menjalankan kegiatan perjudian, pelacuran (35) dan judi tanpa lesen (5).

"Daripada jumlah itu, 40 individu termasuk seorang wanita adalah individu tempatan, manakala 48 lagi individu dari Vietnam, Bangladesh, Thailand dan Indonesia," katanya.

Beliau berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berhubung kegiatan terbabit kepada polis.

"Kerjasama daripada orang ramai penting bagi membantu membanteras jenayah di daerah ini. Dengan adanya maklumat disampaikan mereka, ia sekali gus membuktikan kepercayaan orang ramai terhadap pihak polis.

"Di pihak kami pula, pastinya tindakan sewajarnya akan diambil dan ia menjadi tanda penghargaan dari segi maklumat disampaikan mereka yang 'dipulangkan' semula kepada masyarakat supaya mereka meletakkan kepercayaan kepada polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 10:29 AM