RAZALI Abu Samah (depan) ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah pusat hiburan keluarga di Persiaran Serdang, Seri Kembangan, Serdang yang menjalankan kegiatan perjudian mesin simulasi dalam Operasi Khas Perjudian, semalam.
RAZALI Abu Samah (depan) ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah pusat hiburan keluarga di Persiaran Serdang, Seri Kembangan, Serdang yang menjalankan kegiatan perjudian mesin simulasi dalam Operasi Khas Perjudian, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Polis Daerah Serdang berjaya menyerbu 19 premis di daerah ini yang dipercayai terbabit dengan kegiatan perjudian, judi dalam talian, pelacuran serta ekor haram dalam tempoh 24 jam menerusi Operasi Khas Dadu dan Noda dijalankan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, semua serbuan itu dilakukan bermula jam 12 tengah malam Selasa lalu hingga 10 malam tadi di Seri Kembangan, Puchong dan Kinrara di sini.

"Daripada 19 serbuan dilakukan, 11 serbuan membabitkan judi dalam talian termasuk kejayaan terbaharu membongkar aktiviti perjudian mesin simulasi di Seri Kembangan.

"Tiga lagi serbuan membabitkan kegiatan pelacuran, manakala lima lagi serbuan berkaitan aktiviti ekor haram. Berdasarkan 19 serbuan itu, 12 daripadanya dilakukan di Seri Kembangan, Puchong (5) dan Kinrara (2)," katanya selepas mengetuai serbuan di sebuah pusat hiburan keluarga di Persiaran Serdang, Seri Kembangan, di sini.

Razali berkata, pihaknya menahan 88 individu di dalam 19 serbuan itu membabitkan 48 individu yang menjalankan kegiatan perjudian dan judi dalam talian, pelacuran (35) dan ekor haram (5).

"Daripada jumlah itu, 40 individu termasuk seorang wanita adalah individu tempatan, manakala 48 lagi individu membabitkan warga asing dari Vietnam, Bangladesh, Thailand dan Indonesia," katanya.

Beliau berterima kasih kepada orang awam di daerah itu yang tampil memberikan maklumat berhubung kegiatan terbabit kepada pihak polis.

"Kerjasama daripada orang ramai penting bagi membantu membanteras jenayah di daerah ini. Dengan adanya maklumat disampaikan mereka, ia sekali gus membuktikan kepercayaan orang ramai terhadap pihak polis.

"Di pihak kami pula, pastinya tindakan sewajarnya akan diambil dan ia menjadi tanda penghargaan dari segi maklumat disampaikan mereka yang 'dipulangkan' semula kepada masyarakat supaya mereka meletakkan kepercayaan kepada polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 3:10 PM