GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Individu dikenali Hezry Yasin, yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam muat naik akaun Facebook, hingga mencetuskan kemarahan ramai tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, hari ini.

Hezry berkata, beliau terkejut dan tidak menyangka muat naik berkaitan isu doa buat sultan atau Yang di-Pertuan Agong itu tular sehingga dikritik pelbagai pihak sebagai biadap.

"Jujur saya agak 'speechless.' Saya mohon maaf atas kekhilafan saya.

"Penulisan itu adalah pandangan peribadi saya sendiri. Sungguh, memang langsung tak ada niat menghina institusi beraja.

"Cuma sekadar pandangan daripada diri sendiri. Apa-apa pun, sekali lagi saya mohon maaf buat semua," katanya dalam muat naik di akaun Facebook.

Dalam entri di akaun Facebook yang dipercayai sudah dimuat turun itu, antara lain individu berkenaan menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat di negeri ini.

Beliau juga dilaporkan mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.

Dalam pada itu, Hezry berkata, beliau bersedia memberi kerjasama terhadap mana-mana pihak susulan kontroversi isu berkenaan.

"Insya-Allah saya sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama jika perlu.

"Saya tidak menafikan doa untuk sesama muslim itu sangat baik.

"Semoga Malaysia menjadi sebuah negara seperti yang disebut oleh Allah SWT dalam surah As-Saba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 4:39 PM