GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hayati Ibrahim dan Maiamalina Mohamed Amin

Kuala Lumpur: Kerajaan meluluskan pembinaan hampir 1,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang baharu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia akan membabitkan kos keseluruhan hampir RM500 juta.

"Langkah itu adalah tambahan kepada usaha menyelenggara kemudahan RKAT sedia ada.

"Ia bagi memastikan kebajikan anggota tentera tidak terabai," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM153 juta juga akan disediakan termasuk menaik taraf kemudahan di pusat latihan bagi mengukuh peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Katanya, ia bagi menghargai peranan Rela yang turut sama membantu dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Tengku Zafrul berkata, dalam menangani jenayah siber yang kian meningkat, kerajaan memperuntukkan RM27 juta kepada CyberSecurity Malaysia untuk meningkatkan kawalan keselamatan siber negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing diperuntukkan RM16 bilion dan RM17 bilion untuk tahun hadapan.

"Bagi memastikan kesiapsiagaan aset utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kerajaan akan menaikkan peruntukan penyelenggaraan kepada RM2.3 bilion pada 2021 berbanding RM2 bilion sebelum ini," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 6:22 PM