JEMAAH menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO Aswadi Alias.
JEMAAH menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO Aswadi Alias.
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Tiada apa yang dapat diungkapkan jemaah selain rasa syukur apabila dapat menunaikan solat Jumaat selepas beberapa minggu tidak dapat berbuat demikian.

Seorang jemaah, Ramlan Kasbullah, 58, yang ditemui di Masjid Negara, di sini, hari ini berkata, dia syukur dan lega kerana dapat menunaikan solat Jumaat selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur mulai 14 Oktober lalu.

"Alhamdulillah. Semoga setiap masjid dapat dipenuhkan dan diimarahkan kembali.

"Langkah kerajaan memperluaskan satu pertiga kapasiti dewan solat untuk jemaah solat Jumaat diharap sebagai langkah permulaan untuk masjid penuh kembali, kelak," katanya.

Sementara itu, pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Nik Mat Ripin, 53, berkata, mereka berharap kerajaan lebih ramai lagi dibenarkan solat di masjid khususnya solat Jumaat.

Dia yang berasal Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu berkata, apa pun kebenaran ketika ini disambut dengan rasa syukur kepada Ilahi.

"Semoga virus Covid-19 ini dihapuskan segera dari muka bumi ini.

"Pandemik yang berlaku sekarang wajar menimbulkan rasa insaf khususnya untuk umat Islam," katanya.

ORANG ramai yang hadir untuk solat Jumaat mengikuti SOP dengan memeriksa suhu badan dan QR Kod MySejahtera. FOTO Aswadi Alias.
ORANG ramai yang hadir untuk solat Jumaat mengikuti SOP dengan memeriksa suhu badan dan QR Kod MySejahtera. FOTO Aswadi Alias.

Pekerja penyelenggaraan di sebuah hotel, Azmi Zakaria, 47, turut meluahkan kegembiraan apabila melihat ramai kembali berpusu-pusu ke masjid.

Azmi yang berasal dari Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu juga berharap dan berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan umat Islam menjalani ibadat di masjid.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam dipetik berkata,

jumlah jemaah solat Jumaat diperluaskan kepada satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid serta surau di zon hijau dan kuning di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya sepanjang tempoh PKPB.

Beliau dilaporkan berkata, jumlah jemaah bagi solat fardu lima waktu di masjid dan surau di zon hijau dan kuning pula kapasiti yang dibenarkan ialah tidak melebihi 30 orang jemaah dengan penjarakan fizikal satu meter antara jemaah.

Sementara itu, jurucakap Masjid Negara berkata, selepas prosedur operasi standard (SOP) baharu itu kira-kira 1,000 jemaah solat Jumaat di dalam dewan solat berbanding kapasiti sebenar 5,000.

"Jika tiada SOP penjarakan fizikal, Masjid Negara mempunyai kapasiti untuk memuatkan 15,000 jemaah.

"Ia termasuk 10,000 jemaah di luar dewan solat dan 5,000 jemaah di dalam dewan solat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 2:45 PM