Amir Abd Hamid


Putrajaya: Ibadah solat Jumaat hari ini di pusat pentadbiran negara dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ia selaras pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam yang berkata perkara itu diputuskan selepas berbincang bersama Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebelum dipersembahkan serta diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Untuk jumlah jemaah solat Jumaat di masjid bawah pentadbiran JAWI tidak melebihi 50 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

Tinjauan Harian Metro di masjid di Putrajaya mendapati SOP PKBB solat Jumaat dipatuhi pihak masjid dan orang ramai.

Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias meminta masyarakat supaya positif dengan arahan ditetapkan itu.

"SOP PKBB untuk solat Jumaat antaranya kena datang ke masjid dengan pelitup muka, jika boleh berwuduk di rumah, ikut penjarakan fizikal, cek suhu dan kali ini ditetapkan hanya 50 jemaah sahaja.

"Walaupun umpamanya masjid kita ini boleh mengisi 4,000 jemaah tetapi masyarakat diminta positif dan janganlah pula menyamakan masjid dengan pasar raya," katanya.

Beliau ditemui Harian Metro sebelum mengimamkan solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Selaras titah Al-Sultan Abdullah, beliau turut mengimamkan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah agar wabak Covid-19 dapat dibanteras segera.

Sementara itu tinjauan wartawan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra mendapati ramai kecewa apabila tidak dapat memasuki masjid untuk solat Jumaat.

Faisal Farid, 36, yang hadir seawal jam 11.30 pagi tadi di Masjid Putra berkata walaupun agak kecewa namun dia redha ketentuan Allah SWT.

Peniaga nasi lemak itu berkata, beliau juga sudah cuba masuk di Surau Jumaat Presint 9 namun juga tidak dibenarkan.

Sementara itu jurucakap Masjid Putra mengesahkan kuota 50 jemaah sudah penuh.

Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias ketika membaca khutbah jumaat sebelum mengimamkan solat jumaat dan solat hajat memohon agar wabak Covid-19 dapat dibanteras. FOTO  MOHD FADLI HAMZAH
Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias ketika membaca khutbah jumaat sebelum mengimamkan solat jumaat dan solat hajat memohon agar wabak Covid-19 dapat dibanteras. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 4:06 PM