Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Masjid Negara memperketatkan penguatkuasaan kemasukan jemaah susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di negara ini yang semakin membimbangkan.

Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni berkata, setiap jemaah dimestikan imbas MySejahtera serta menunjukkan butiran kategori kepada pengawal keselamatan masjid.

"Mesti imbas MySejahtera. Kita tak mahu lagi jemaah menulis butiran di buku kehadiran. Sebelum ini kita benarkan tulis di buku jika tak bawa telefon untuk imbas MySejahtera.

"Namun sekarang semua jemaah yang masuk ke masjid mesti imbas MySejahtera," katanya selepas mengimamkan solat Jumaat di Masjid Negara hari ini.

Beliau berkata, pengawal keselamatan Masjid Negara akan menyemak status kesihatan atau kategori individu yang berkenaan menerusi imbasan MySejahtera itu.

Katanya, jika hasil imbasan itu tertera antara empat kategori iaitu kes disahkan, kes suspek, kontak rapat dan individu dalam pemantauan maka individu berkenaan dilarang masuk masjid.

"Contohnya warna merah, kes yang disahkan positif Covid-19. Jika tulis butiran di buku atau imbas suhu boleh jadi individu itu nampak sihat sahaja dan tidak bergejala.

"Pengalaman kita beberapa hari ini, terdapat dua tiga orang jemaah yang mempunyai kategori atau status seumpama ini, jadi kita tidak benarkan untuk masuk ke masjid. Penguatkuasaan kita ketatkan.

"Hanya kategori berisiko rendah dan tidak bergejala sahaja dibenarkan masuk masjid," katanya.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) solat Jumaat untuk 50 orang, katanya, keutamaan antaranya adalah kakitangan masjid.

Namun, katanya, sebahagian kakitangan masjid itu bekerja dari rumah (BDR), jadi keutamaan dibuka juga kepada anak kariah yang memang selalu solat berjemaah di masjid.

"Mereka memang rutin berjemaah di masjid, ini yang menjadi keutamaan kepada Masjid Negara.

Jemaah yang berdaftar sahaja dibenarkan masuk ke ketika tinjauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard SOP solat jumaat di Masjid Negara susulan gelombang baru kes Covid-19. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI.
Jemaah yang berdaftar sahaja dibenarkan masuk ke ketika tinjauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard SOP solat jumaat di Masjid Negara susulan gelombang baru kes Covid-19. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI.

Kita harap yang tinggal jauh bukan anak kariah tidak perlulah untuk memohon atau pun menelefon Masjid Negara untuk mohon solat Jumaat kerana keutamaan kepada agensi yang berhampiran dan anak kariah. Lagipun sekarang dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Menurutnya, dalam kalangan masyarakat mungkin merasa tidak selesa dengan keputusan kerajaan tidak membenarkan atau hanya benarkan beberapa jemaah sahaja yang boleh berjemaah di masjid.

Beliau berkata, sebagai masyarakat Islam kena menerima dengan penuh keredaan.

"Bukanlah maksudnya reda tak solat Jumaat itu, sebaliknya reda dengan ketentuan Allah SWT dalam keadaan pandemik ini.

"Di samping itu, bukan setakat reda, malah kita kena mohon keampunan kepada Allah SWT. Mohon ampun, kita sudah usaha nak pergi solat Jumaat," katanya.

Ini kerana katanya, ulil amri atau pemerintah melakukannya bergantung kepada kemaslahatan umat, bukan untuk individu atau pun kelompok masyarakat tertentu sahaja.

Justeru, katanya, jika tidak dibenarkan solat Jumaat, maka laksanakanlah solat zohor di rumah.

"Janganlah kita buat satu jemaah lain atau pun ikut imam yang di dalam masjid tetapi kita berada di luar masjid.

"Ini nampak tidak mematuhi arahan ulil amri. Ada juga persoalan kepada lelaki yang bimbang sudah lama tak buat solat Jumaat adakah perlukan buat solat taubat.

"Sebenarnya dalam apa keadaan pun, bukan sebab tak dapat solat Jumaat tiga kali berturut-turut maka buat solat taubat, hakikatnya solat taubat memang disarankan dibuat setiap hari sebab kita banyak buat dosa dan kesilapan kepada Allah SWT serta sesama makhluk," katanya.

Tinjauan Harian Metro hari ini, tiga sekatan pemeriksaan jemaah di Masjid Negara iaitu di pintu pagar Pintu 1, laluan ketibaan dan pintu masuk ruang utama solat.

Untuk rekod kapasiti sebenar Masjid Negara dalam keadaan penjarakan fizikal adalah 4,000 orang.

Jika tanpa penjarakan fizikal pula boleh memuatkan jemaah seramai 15,000 orang.

Semalam, negara merekodkan 6,806 kes harian baharu dan 59 kematian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 5:42 PM