TIGA lelaki yang ditemui selamat di perairan Pulau Malawali, Pitas. FOTO Juwan Riduan
TIGA lelaki yang ditemui selamat di perairan Pulau Malawali, Pitas. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

Kudat: Tiga lelaki yang hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Kampung Lagaton, Pitas di sini, petang semalam, ditemukan selamat pagi ini.

Mangsa ditemukan di perairan Pulau Malawali di sini, pada jam 7.20 pagi oleh penduduk kampung yang keluar mencari sebelum memaklumkannya kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, ketiga-tiga mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke Kampung Lagaton selepas selesai membeli barang keperluan di Karakit, Pulau Banggi.

Bagaimanapun katanya, tiga mangsa yang dikenali sebagai Helmi Sadron, 28, Mohamad Sahibi, 58 dan Ansar Kirinoh, 34, tidak sampai ke kampung dan usaha ahli keluarga menghubungi mereka juga gagal.

"Kejadian kemudiannya dimaklumkan kepada APMM kira-kira jam 5.30 petang semalam dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dikerah di kawasan sekitar namun gagal menemukan mangsa.

"Operasi disambung semula hari ini membabitkan empat sektor laut dengan keluasan 77 batu persegi membabitkan APMM, polis, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan penduduk kampung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, pihaknya kemudiannya menerima maklumat, semua mangsa sudah ditemui dan dibawa ke Kampung Narutnung.

"Ketiga-tiga mangsa ini selamat kerana mereka memakai jaket keselamatan sebelum keluar ke laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 2:30 PM