Pasukan penyelamat membawa mayat Pong Ling yang ditemui di perairan Muar petang tadi. Gambar Ihsan APMM
Pasukan penyelamat membawa mayat Pong Ling yang ditemui di perairan Muar petang tadi. Gambar Ihsan APMM
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Mayat nelayan Lee Pong Liang, 68, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu selepas bot dinaiki tenggelam di badai ombak kira-kira 6.8 batu nautika dari perairan Tanjung Segenting, sudah dijumpai petang tadi.

Lee ditemui di perairan Muar, kira-kira 25 batu nautika dari lokasi bot mangsa dilaporkan karam di Tanjung Segenting, di sini.

Jasad warga emas itu ditemui feri yang dalam perjalanan dari Bengkalis, Indonesia ke Muar, 2 petang tadi sebelum dibawa ke jeti Jabatan Laut Muar.

Ia kemudian diserahkan kepada polis dengan mayat dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk tindakan lanjut.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kenyataan berkata, operasi memasuki hari kelima ditamatkan petang ini memandangkan tiada petunjuk baharu bagi pencarian seorang lagi mangsa, Raud Darus @ Hamid, 53.

"Bagaimanapun, pencarian mangsa akan diteruskan oleh aset Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin," katanya.

Dalam kejadian itu, hanya Tan Siak Bin, 43, selamat manakala tiga lagi iaitu tekong, Chia Kah Chong, 51, serta awak-awak Lee Poh Ling, 68, Tan Hai Lan, 62, disahkan lemas namun Raud masih belum ditemukan.

Kesemua mangsa dilaporkan keluar ke laut pada 8 malam Khamis lalu melalui jeti nelayan di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit.

Sementara itu, dalam kejadian lain, Op Carilamat penumpang feri, Juli Afriko, 30 yang terjatuh laut ketika dalam perjalanan dari Muar menuju ke Bengkalis, disambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 12:02 AM