EMPAT nelayan pukat tunda terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam berhampiran Pulau SongSong. FOTO Ihsan APMM
EMPAT nelayan pukat tunda terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam berhampiran Pulau SongSong. FOTO Ihsan APMM
Mohd Rizal Abdullah


EMPAT nelayan nekad berenang sejauh 2.6 kilometer selepas bot tunda dinaiki mereka karam di perairan Yandalam, Alor Setar, malam tadi.

Empat nelayan dengan dua daripadanya warga Thailand dan dua lagi warga tempatan berusia 28 sehingga 45 tahun berjaya berenang ke Pulau Songsong sebelum mereka diselamatkan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot dinaiki mereka karam pada jarak 1.4 batu nautika dari Pulau Songsong pada 10 malam.

Menurutnya, semua mangsa kemudiannya bertindak berenang ke pulau berkenaan bagi menyelamatkan diri.

“Mangsa kemudiannya meminta bantuan sekumpulan pemancing yang kebetulan berada di situ sebelum kejadian dilaporkan kepada APMM.

“Sebuah bot APMM bersama empat anggota dikerahkan ke lokasi sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dalam keadaan keletihan kerana terlalu lama di laut,” katanya.

Katanya, pihaknya menyeru pada mereka yang ingin melakukan aktiviti laut menitikberatkan soal keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 1:01 PM