Yun Mikail


Kota Kinabalu: Sambutan Deepavali di Sabah tetap meriah walaupun disambut secara sederhana berikutan penularan wabak Covid-19.

Tinjauan di Kuil Sri Pasupathinath Alayam mendapati penganut agama Hindu tetap datang menunaikan upacara sembahyang sempena Deepavali pagi ini.

Bagaimanapun, bilangan orang awam yang datang ke kuil berkenaan dihadkan mengikut masa seperti ditetapkan rumah ibadat terbabit.

Naib Presiden Kuil Sri Pasupathinath Alayam, Datuk Dr K Mathavan berkata, semua pengunjung kuil harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti wajib memakai pelitup muka, menggunakan cecair basmi kuman dan melalui pemeriksaan suhu badan.

"Selain itu, ahli jawatan kuasa (AJK) kuil akan memastikan penjarakan fizikal sentiasa diamalkan setiap masa.

"Kita juga akan melaksanakan proses sanitasi bagi setiap 40 minit dalam memastikan kawasan upacara sembahyang berada dalam keadaan bersih dan selamat," katanya ketika ditemui, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Kuil Sri Pasupathinath Alayam, Datuk A Arulpragasam.

Dalam pada itu, Mathavan menyatakan pihaknya mengambil pendekatan membahagikan pengunjung mengikut kumpulan dan masa.

"Hanya 30 orang sahaja dibenarkan hadir ke kuil bagi setiap satu jam malahan mereka boleh berada dalam kawasan kuil sekitar 30 sehingga 40 minit.

"Langkah ini diambil bagi mengelakkan kesesakan berlaku sebagai usaha pencegahan penularan Covid-19," katanya.

Sementara itu, pengunjung kuil, Hema Vathy, 45, berkata, dia bersyukur dapat menunaikan upacara sembahyang Deepavali dalam meskipun dalam suasana pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Hema yang juga seorang guru menyatakan kemeriahan berkumpul menyambut Deepavali bersama keluarga dan rakan-rakan berada di Semenanjung antara momen yang dirindui pada sambutan tahun ini.

"Tahun ini kita tidak boleh berkumpul kerana kekangan rentas negeri dan daerah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) malahan datang ke kuil pun harus mengikut SOP yang ditetapkan," katanya.

PENGANUT agama Hindu yang hadir untuk upacara sembahyang di Kuil Sri Pasupathinath Alayam di Bukit Padang, Kota Kinabalu. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
PENGANUT agama Hindu yang hadir untuk upacara sembahyang di Kuil Sri Pasupathinath Alayam di Bukit Padang, Kota Kinabalu. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 2:16 PM