TAN Sri Muhyiddin Yassin ketika mengadakan sidang media melalui sidang video di kediamannya hari ini. FOTO Bernama.
TAN Sri Muhyiddin Yassin ketika mengadakan sidang media melalui sidang video di kediamannya hari ini. FOTO Bernama.
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Belanjawan 2021 bakal memberi keutamaan kepada melindungi rakyat negara ini ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi dan penularan Covid-19 ketika ini.

Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, ia bukanlah satu belanjawan pilihan raya seperti didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata, ia bertujuan mengimbangi antara kewajipan melindungi rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan ekonomi negara ini, menyebabkan kerajaan perlu bertindak dengan pantas.

"Bila (tarikh) pilihan raya, saya sendiri juga tidak tahu. Apa pun, saya boleh bayangkan yang penting ketika ini untuk menangani masalah Covid-19 dan menguruskan masalah ekonomi. Ini dua perkara pokok ketika ini, tidak termasuk perkara ketiga, pilihan raya pun.

"Tetapi jika dua perkara ini dapat diselesaikan, saya memang mengharapkan kita mendapat satu mandat baharu, bermakna kita pergi kepada rakyat dan memohon rakyat mempertimbangkan.

"Kalau mereka berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini bagus, banyak memberikan sokongan dan bantuan secara prihatin dengan masalah mereka, mereka menghargai usaha kita, mungkin pada suatu masa terbaik pilihan raya umum sewajarnya dapat dilaksanakan," katanya pada Wawancara Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika itu mungkin kerajaan yang terpilih akan menjadi lebih stabil dan tidak dalam keadaan yang dilihat seperti hari ini.

Namun, katanya, beliau tidak tahu bila masalah Covid-19 akan selesai dan ekonomi rancak semula sebaliknya semua pihak hanya mampu berdoa supaya negara segera dapat kembali ke yang landasan betul.

Muhyiddin berkata, beliau tidak menyebut ia adalah belanjawan pilihan raya kerana apa yang penting adalah untuk membantu rakyat.

"Saya tahu di bawah sana, apabila ekonomi tidak dapat bergerak sepantas diharapkan. Umpamanya kita pada suatu peringkat dahulu sudah melandaikan lengkok Covid-19, rakyat sudah bergerak kembali seperti sedia kali.

"Kemudian gelombang Covid-19 melanda dan ia lebih mencabar. Kita berhadapan dengan satu ancaman baharu yang lebih besar dan kita tidak tahu bagaimana untuk menguruskan... tetapi kita akan uruskannya," katanya.

Muhyiddin berkata, komitmen kerajaan adalah secara menyeluruh dan bukan berkaitan pilihan raya sebaliknya untuk menguruskan nyawa rakyat di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 4:44 PM