MUHYIDDIN dan Mohamed Azmin selepas pengumuman Tawaran PN Selangor bersempena Pilihanraya Negeri (PRN). FOTO Asyraf Hamzah
MUHYIDDIN dan Mohamed Azmin selepas pengumuman Tawaran PN Selangor bersempena Pilihanraya Negeri (PRN). FOTO Asyraf Hamzah
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Perikatan Nasional (PN) menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion sekiranya berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pakej rangsangan bertemakan 'Selangor Baharu, Kita Bangki' merangkumi tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.

Menurutnya, tujuh tunjang berkenaan adalah Semarak Masyarakat Harmoni; Sejahterakan Kehidupan Rakyat; Junjung Prinsip Tadbir Urus & Politik Yang Bersih; Ekonomi Masa Hadapan Yang Utuh; Wanita Teras Masyarakat & Ekonomi Negeri serta Alam Lestari dan Infrastruktur Bestari.

Muhyiddin berkata, pakej berkenaan dihasilkan sebagai bukti keprihatinan PN yang sedar masalah utama yang dihadapi oleh rakyat di negeri Selangor pada masa ini adalah tekanan kos sara hidup dan keadaan ekonomi negeri yang suram.

"Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakcekapan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang sedia ada untuk menawarkan suatu penyelesaian yang berkesan dan menyeluruh kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat.

"Saya turun ke bawah dan mendapati ramai mengeluh kenaikan harga barang, perniagaan merosot, pendapatan tidak bertambah di samping tiadanya bantuan kerajaan yang benar-benar dapat membantu meringankan beban ditanggung oleh rakyat dan perniagaan.

"Apabila saya bertemu orang ramai di lapangan, mereka bukan sekadar kecewa, tetapi marah terhadap kerajaan hari ini. Malangnya, selepas lapan bulan mentadbir negara, kerajaan campuran PH-BN seolah-olah tidak tahu bagaimana hendak menguruskan negara ini dengan cekap," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tawaran PN Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Perhubungan Gerakan Selangor, Datuk Henry Teoh Kien Hong.

Muhyiddin berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Tawaran PN yang dipengerusikan oleh Radzi Jidin dan Mohamed Azmin di atas usaha gigih menyiapkan Tawaran PN Selangor yang dilancarkan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 10:34 PM