KUALA LUMPUR 22 May 2012. Bangunan Parlimen. NSTP/Salhani Ibrahim
KUALA LUMPUR 22 May 2012. Bangunan Parlimen. NSTP/Salhani Ibrahim
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menyangkal dakwaan mengatakan kakitangan dan polis bantuan di Dewan Negara positif Covid-19.

"Sebenarnya laporan semalam mengatakan polis bantuan kita mendapat Covid-19 adalah tidak benar, bukan polis bantuan kita tetapi polis bantuan berkhidmat di tempat lain, jadi perkara itu satu kesilapan," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang bangkit selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengusulkan waktu sidang Parlimen hari ini dipendekkan dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari dan keputusan itu kekal berkuat kuasa hingga Khamis ini mengikut Usul 12(1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Semalam Menteri memberitahu empat orang staf Dewan Negara dikatakan positif Covid-19.

"Saya difahamkan staf berkenaan mengadakan test (ujian) pada 28 Oktober, 29 Oktober dan 30 Oktober mereka masih berlegar di sini dan bertemu antara satu sama lain.

"Malah, semalam KP (Ketua Pengarah) Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) mengatakan polis bantuan juga turut positif, saya agak bimbang dengan keadaan begini," kata Mahfuz.

Bagaimanapun, Azhar Azizan menjelaskan polis bantuan berkenaan bertugas di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bukan di Dewan Negara.

"Itu satu kesilapan, di bawah JPM, tetapi bukan bertugas di pejabat, bertugas di tempat lain.

"Penjelasan kedua, bukan staf Dewan Negara, tetapi kakitangan kepada seorang Senator Dewan Negara yang datang buat ujian pada Rabu kerana mungkin Senator nak hadiri Belanjawan pada Jumaat ini,

"Mereka buat ujian dan didapati positif, tetapi mereka tidak datang dan berlegar-legar di Parlimen hari-hari," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar bangkit mencelah adakah wujud keperluan untuk melakukan ujian saringan berikutan beliau mendengar tujuh orang yang bekerja di Dewan Rakyat positif Covid-19.

"Saya dengar lebih tujuh orang positif yang bekerja di Dewan Rakyat, apa you kata dan KP (Kesihatan) cakap berbeza," katanya.

Azizan Azhar kemudian menjelaskan satu kenyataan akan dikeluarkan pihaknya hari ini dan minta semua bertenang.

"Saya sebenarnya dah bincang perkara ini dengan Ketua Pentadbir Parlimen pagi-pagi lagi, kita akan keluarkan penjelasan, bawa bertenang.

"Duduk sekejap, saya faham, semua kita faham dan kenapa nak dibuat isu. Bawa bertenang, kita semua ada SOP, kita semua jaga keselamatan masing-masing, kita semua di sini maksudnya kita semua negatif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 12:53 PM