GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dua pengarah syarikat yang dipercayai menyebabkan pencemaran air Sungai Gong, Rawang pada bulan lalu, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, polis merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara sebelum mendapat arahan tuduh terhadap dua beranak berusia 61 dan 31 tahun itu.

"Pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan. Mereka juga akan dituduh mengikut Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, enam pekerja termasuk empat warga asing berusia antara 25 hingga 66 tahun yang ditahan polis bagi membantu siasatan sebelum ini, akan dijadikan saksi pendakwaan.

Katanya, saksi pendakwaan akan diikat dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Acara Jenayah.

"Terdapat lima kes berkaitan pencemaran yang disiasat. Ini adalah kes kedua dituduh bagi kesalahan berkenaan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada 12.38 tengah malam 19 Oktober lalu.

Berikutan itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Kemudian beberapa LRA lain terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Hasil siasatan mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula daripada syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan.

Justeru, lapan individu termasuk dua pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan berhubung pencemaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 10:57 PM