PEMANDU teksi beratur panjang menunggu penumpang di ibu negara. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PEMANDU teksi beratur panjang menunggu penumpang di ibu negara. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini turut memberi kelegaan kepada golongan bergantung hidup memperoleh pendapatan harian seperti peniaga kecil dan pemandu teksi.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah berkata, keputusan itu membolehkan kira-kira 15,000 penjaja dan peniaga kecil di bawah persatuan meneruskan perniagaan mereka yang kini masih dalam fasa pemulihan.

"Cuba bayangkan dalam keadaan sekarang pun susah nak berniaga sebab pelanggan kurang disebabkan wabak Covid-19, apatah lagi jika darurat dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Titah Al-Sultan Abdullah itu dizahirkan setelah memperhalusi permohonan dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain menilai situasi semasa yang sedang dihadapi negara.

Mohamad yang memuji kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong berkata, tindakan Seri Paduka 'menyelamatkan' banyak pihak yang masih terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Beliau berkata, ramai penganggur kini menjadikan perniagaan kecil-kecilan sebagai 'talian hayat' terakhir untuk mereka meneruskan kelangsungan kehidupan bagi menyara keluarga dan membayar segala komitmen bulanan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Al-Sultan Abdullah dilihat membuat keputusan tepat dengan mengambil kira kegelisahan dan masalah dihadapi rakyat ketika ini, diputuskan secara bijaksana, tidak mengikut emosi dan tanpa mengikut kehendak ahli politik.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Executive Jiwa Malaysia (PERJIWA), Zailani Isaisuludin berkata, titah Seri Paduka itu amat dinanti-nanti mereka yang berada dalam sektor pengangkutan awam memandangkan golongan ini terjejas teruk sejak penularan wabak Covid-19.

Katanya, ramai pemandu teksi mengeluh sumber pendapatan terjejas apabila orang ramai semakin kurang menggunakan perkhidmatan teksi dan sekiranya darurat dilaksanakan ia akan memberi impak lebih buruk kepada industri pengangkutan.

"Seri Paduka selaku ketua negara lebih arif dan prihatin keadaan rakyat, justeru keputusan tidak mengisytihar darurat mengambil kira keperluan dan kebajikan semua lapisan masyarakat yang menerima impaknya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 11:13 AM