Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Sejak berusia tiga hari, dia sudah ditinggalkan kedua ibu bapa yang sehingga kini menghilang entah ke mana.

Sejak itu, Siti Nur Puteri Balqis Mohd Shamsul Bahari, 7, atau mesra dipanggil Aisyah menganggap ibu saudaranya sebagai ibu dengan memanggilnya mama, manakala datuknya pula dianggap sebagai bapa dengan panggilan abah.

Ibu saudaranya, Siti Nur Aimuni Mat Yunan, 29, berkata, abang sulungnya yang juga bapa kepada Aisyah menghilangkan diri bersama isteri selepas tiga hari melahirkan Aisyah dengan alasan ingin kembali seketika ke kampung halaman isteri di Takbhai.

"Pemergian mereka terus tidak dapat dikesan dan Aisyah membesar bersama kami sehinggakan dia hanya mengenali saya sebagai mama, manakala ayah pula dipanggil abah.

"Ada juga kami cuba menghubungi kenalan di sana (Takbhai) bertanyakan pasal abang serta isteri namun semua tidak mengetahui dan kami tidak dapat memastikan sama ada abang masih hidup atau tidak.

"Mak (ibu) baharu saja meninggal dunia seminggu lalu akibat penyakit kencing manis dan sepanjang terlantar dia kerap bertanyakan abang, namun sehingga menutup mata dia tidak dapat berjumpa abang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Merbau, di sini, semalam.

Siti Nur Aimuni berkata, Aisyah yang juga murid Darjah Satu Sekolah Kebangsaan Merbau, di sini membesar seperti kanak-kanak lain, namun terdetik rasa bimbang di benaknya bagaimana untuk memberitahu anak saudaranya itu mengenai kedua ibu bapa sebenarnya suatu hari nanti.

Menurutnya, walaupun dilahirkan di sini, Aisyah berstatus bukan warganegara dalam sijil kelahiran disebabkan bapanya tiada maklumat lengkap menyebabkan agak sukar untuk menerima bantuan termasuk dikenakan bayaran agak mahal untuk perubatan.

SITI Nur Puteri Balqis dijaga ibu saudara dan datuknya. FOTO Abdullah Nik Omar
SITI Nur Puteri Balqis dijaga ibu saudara dan datuknya. FOTO Abdullah Nik Omar

"Meskipun terpaksa menjadi mama dan abah buat Aisyah, saya serta ayah akan terus menjaganya walau abang tidak kunjung tiba dan biarlah Aisyah menjadi 'anak' saya sampai bila-bila," katanya yang menerima kunjungan dua wakil badan bukan kerajaan iaitu Cempaka Merah Asnaf Society dan I-Kasih sambil menghulurkan sedikit sumbangan.

Siti Nur Aimuni yang berhasrat untuk bekerja dalam masa terdekat juga buntu memikirkan bagaimana untuk menguruskan Aisyah kerana tiada siapa yang boleh diharapkan untuk menguruskan kanak-kanak itu.

Sebelum ini mereka bergantung kepada wang bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM400 sebulan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan yang diterima arwah ibunya bagi perbelanjaan seharian termasuk sewa rumah sebanyak RM400 sebulan.

"Kini bantuan itu sudah tiada disebabkan mak sudah meninggal dunia dan hanya ayah yang bekerja sebagai pengayuh beca dan adik bongsu di bengkel penggelap cermin kereta yang mempunyai pendapatan tidak seberapa.

"Ayah juga tidak berapa sihat kerana sakit batu karang dan buasir menyebabkan hanya jarang-jarang sahaja mengayuh (beca) lagipun pendapatan yang diperoleh juga tidak menentu dan ada kalanya langung tiada...hanya penat sahaja," katanya.

Kepada yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Siti Nur Aimuni iaitu 0310029000846995 atau menghubunginya di talian 0163390891.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 3:15 PM