RUMAH dan kereta mangsa yang hangus dalam kebakaran di Kampung Bukit Ulu Sat, Machang, hari ini. FOTO ihsan bomba.
RUMAH dan kereta mangsa yang hangus dalam kebakaran di Kampung Bukit Ulu Sat, Machang, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Seorang lelaki warga emas melecur di tangan kanan selepas kediamannya terbakar di Kampung Bukit Ulu Sat, di sini, hari ini.

Difahamkan mangsa, Ahmad Mat Noor, 65, melecur di tangan kanan ketika mahu menyelamatkan kereta miliknya yang diparkir di hadapan rumah sebelum dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.35 pagi dan tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.

Beliau berkata, seramai 10 anggota dari BBP Machang dan Tanah Merah dikerahkan ke lokasi kebakaran dan jalan agak sempit menyukarkan kenderaan untuk melaluinya.

Katanya, mereka dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pegawai perubatan dari Hospital Machang.

"Setibanya di lokasi, didapati sebuah rumah separa kekal sudah 70 peratus terbakar selain sebuah kereta Proton Saga turut hangus.

"Kami mengambil masa 15 minit untuk mengawal api dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya 30 minit kemudian sebelum operasi ditamatkan pada 8.45 pagi," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, punca kebakaran dipercayai bermula dari bahagian hadapan rumah dan ketika kejadian penghuni berada di dalam rumah.

Katanya, mangsa menyedari kejadian selepas dimaklumkan oleh jiran dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian serta jumlah kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 9:10 PM