ANGGOTA bomba membawa mayat mangsa lemas ke Jeti Nelayan Sungai Pulai, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba membawa mayat mangsa lemas ke Jeti Nelayan Sungai Pulai, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Pencari kupang dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan sampannya yang terlepas tali tambatan di Kelong Kupang Sungai Tiga, Sungai Pulai, di sini, semalam, ditemui lemas, hari ini.

Mayat Jam Md Ross, 43, dijumpai nelayan kira-kira 4.2 batu nautika dari tempat mangsa dilaporkan hilang, kira-kira 9.20 pagi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan dibawa ke Jeti Nelayan Sungai Pulai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Tiba di jeti, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) ditamatkan pada 10 pagi.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada agensi dan komuniti nelayan yang turut membantu melakukan pencarian bersama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan komuniti maritim agar menjaga keselamatan di laut dengan mengamalkan pemakaian jaket keselamatan.

Katanya, sebarang aduan, maklum balas dan kecemasan di laut, orang awam diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31769100 / 0627 yang beroperasi 24 jam.

Sementara itu, Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan 11 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 4.44 petang semalam.

Beliau berkata, operasi pencarian pada hari ini diteruskan bersama sepasukan lima anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Shah Alam.

Berita berkaitan

'Penternak kupang dikhuatiri lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 11:33 AM