Ayusliza Azizan


SEORANG lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Sabak Bernam, dekat Pelabuhan Klang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun dan bekerja awak-awak di atas sebuah bot nelayan dikatakan lemas ketika keluar ke laut untuk menangkap ikan.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, Pusat Operasi Daerah Maritim 4 Klang, Selangor menerima panggilan daripada Balai Polis Sabak Bernam memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat oleh pemilik bot nelayan, Lee Chew Hai, 58, pada hari kejadian.

“Sebaik menerima aduan berkenaan, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan.

“Aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digerakkan ke lokasi kejadian iaitu Kapal Maritim (KM) Kukup, dibantu oleh KM Nyalau yang berkhidmat di bawah Wilayah Utara (DM3),” katanya.

Beliau berkata, kawasan pencarian membabitkan perairan Sabak Bernam.

“Setakat ini mangsa belum dijumpai dan operasi pencarian masih diteruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 9:10 PM