KHAIRUL Dzaimee. FOTO Arkib NSTP
KHAIRUL Dzaimee. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang menyiasat insiden lima pendatang asing tanpa izin (Pati) meloloskan diri sejak 17 Oktober lalu dari Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian, dekat sini,

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, siasatan berkenaan termasuk sama ada terdapat elemen kecuaian sehingga menyebabkan lima Pati dapat melarikan diri.

"Siasatan sedang dijalankan. Jika ada unsur kecuaian atau isu integriti dikesan, tindakan akan diambil mengikut Peraturan Tatatertib Penjawat Awam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, media hari ini melaporkan lima Pati yang ditahan di depot berkenaan meloloskan diri.

Sumber berkata, semua tahanan yang melarikan diri itu membabitkan kes kesalahan Imigresen itu dan dalam proses diusir pulang ke negara asal mereka.

Biarpun Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir belum mengesahkannya namun kejadian itu disahkan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

"Laporan polis membabitkan insiden berkenaan diterima pada 17 Oktober lalu yang dibuat di Balai Polis Simpang Renggam," katanya.

Berita berkaitan

5 PATI lolos depot imigresen

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 9:31 PM