GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Sibu pada 26 Mac lalu disebabkan wabak rabies, menjadikannya kes pertama dilaporkan tahun ini di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kes rabies kepada 23 sejak penyakit itu diisytiharkan sebagai wabak di negeri berkenaan pada 31 Julai 2017.

Beliau berkata, kali terakhir kes wabak itu dilaporkan adalah pada 8 November tahun lalu,

Menurutnya, mangsa terbaru itu digigit anjing liar pada 8 Mac lalu di bahagian muka, mulut serta kelopak mata dan luka gigitan itu tidak dicuci dengan aliran air bersih dan sabun sejurus selepas kejadian.

“Beliau kemudiannya dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada hari sama, mendapat suntikan vaksin antitetanus, suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) dan dua dos suntikan vaksin antirabies semasa dirawat di Hospital Sibu.

“Mangsa didiscaj dari hospital itu dalam keadaan sihat pada 13 Mac dan diberikan lagi dos ketiga vaksin antirabies tiga hari kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, mangsa dibawa untuk mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Komuniti di bandar Sibu kerana demam pada 24 Mac dan seterusnya ke Hospital Sibu keesokan harinya kerana sakit tekak dan sukar untuk menelan air serta berhalusinasi.

Menurutnya, mangsa dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. sebelum keadaannya bertambah teruk dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya dengan punca kematian adalah ‘rabies encephalitis’.

“Sampel daripada kanak-kanak itu diambil pada 26 Mac dan disahkan positif rabies oleh Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tiga hari kemudian.

“Anjing liar yang menggigitnya juga dilaporkan telah mati pada 10 Mac tanpa sempat diambil sampelnya,” katanya.

Berikutan kes terbaru itu, beliau menasihatkan orang ramai mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada dijangkiti rabies termasuk langkah segera jika digigit anjing, pemberian suntikan antirabies dan penjagaan kebersihan serta kesihatan diri dan haiwan peliharaan.

Katanya, KKM dan JKN (Jabatan Kesihatan Negeri) Sarawak akan mempertingkatkan lagi kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 10:58 AM