SK Taman Jana ditutup selama seminggu sebagai usaha membanteras penyebaran Covid-19. FOTO Bernama
SK Taman Jana ditutup selama seminggu sebagai usaha membanteras penyebaran Covid-19. FOTO Bernama
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Sebuah lagi sekolah di Perak ditutup selama tujuh hari bermula esok, menjadikan keseluruhan sebanyak 12 sekolah ditutup sejak gelombang ketiga Covid-19 melanda negara.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Klian Pauh, Taiping ditutup sehingga 28 Oktober depan dengan sesi persekolahan kembali dibuka pada 30 Oktober depan.

"Penutupan ini dibuat bagi membolehkan kerja pembersihan dan disinfeksi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan pengesahan kes jangkitan Covid-19," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook (FB) rasmi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, hari ini.

Penutupan itu menjadikan keseluruhan setakat ini, sebanyak enam sekolah di mukim Taiping ditutup sejak mukim itu berada dalam zon merah wabak Covid-19 bermula 15 Oktober lalu.

Selain SK Klian Pauh, sekolah yang sudah ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, SK Taman Jana, SK Convent Kota.

Manakala sekolah di mukim dan daerah lain di Perak yang ditutup setakat ini ialah SK Ulu Mengkuang, Rantau Panjang; SK Lekir Batu 8 di Setiawan, Manjung; SK Tanah Kebun di Parit Buntar; SMK Raja Lope Nor Rashid di Tanjung Piandang serta SK Klebang Jaya dan SMK Aminuddin Baki di Chemor, Ipoh.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 28 Sekolah Agama Rakyat (SAR) Integrasi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Taman Didikan Kanak-Kanak (tadika) Islam di Perak ditutup mulai 14 hingga 25 Oktober akibat Covid-19.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin dalam satu kenyataan yang memaklumkan jumlah itu membabitkan 21 SAR dan tujuh tadika Islam di beberapa daerah antaranya Kinta, Manjung, Larut, Matang dan Selama, Kerian serta Hulu Perak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 8:35 PM