ANGGOTA bomba memadam api dalam kebakaran di Pekan Lama Kimanis, Papar. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadam api dalam kebakaran di Pekan Lama Kimanis, Papar. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Papar: Bayi lelaki berusia empat bulan melecur di kepala dan kaki dalam kebakaran sebuah rumah di Pekan Lama Kimanis, di sini, hari ini.

Mangsa, Raid Syakif dihantar ke Hospital Papar oleh keluarganya untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.25 pagi.

Katanya, seramai 15 pegawai dan anggota bersama dua jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dan Papar digerakkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran membabitkan rumah jenis tidak kekal dua tingkat terbakar sepenuhnya.

"Operasi pemadaman menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba," dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bayi berusia empat bulan yang melecur dilaporkan oleh penyelia operasi.

"Mangsa dihantar ke Hospital Papar oleh keluarganya sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

"Operasi terkawal jam 9.35 pagi dan tamat sepenuhnya pada 12 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 2:54 PM