Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Lebih 100 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang mengalami keracunan makanan, hari ini.

Sumber berkata, pelajar terbabit menikmati makan malam di dewan makan MRSM berkenaan sebelum kebanyakan pelajar mula mengalami sakit perut bermula awal pagi hari ini.

"Dipercayai pelajar makan menu kari ayam serta daging masak kicap manakala pengusaha makanan kantin asrama itu dipercayai baru berkhidmat di sini.

"Ada yang beritahu daging dimasak itu sudah busuk namun tidak dapat dipastikan kesahihan itu sehingga diketahui maklumat sebenar," katanya.

Sumber itu berkata, disebabkan jumlah pelajar yang ramai, mereka tidak hantar ke Hospital Jelebu, sebaliknya menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran selain di dewan MRSM berkenaan.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Badan Permuafakatan Pendidikan Mara (Muafakat) cawangan MSRM Kuala Klawang, Rosdin Abdul Kahar berkata, jumlah pelajar terbabit belum dapat dipastikan.

"Saya dimaklumkan kebanyakan pelajar mengalami sakit perut sejak 4 pagi tadi," katanya.

KENDERAAN Pejabat Kesihatan Jelebu keluar MRSM Kuala Klawang berikutan pelajar mengalami keracunan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
KENDERAAN Pejabat Kesihatan Jelebu keluar MRSM Kuala Klawang berikutan pelajar mengalami keracunan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 3:12 PM