SMK Dato Haji Mohd Taib di Chemor. FOTO Google Maps
SMK Dato Haji Mohd Taib di Chemor. FOTO Google Maps
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Sebuah lagi sekolah di Perak akan ditutup hari ini manakala penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Lekir, Sitiawan, dilanjutkan sehingga 26 Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, Razman Zakaria berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji Mohd Taib, Chemor mula ditutup pagi ini selepas satu kes positif Covid-19 dikesan membabitkan seorang pelajar.

"Di SK Lekir, penutupan sekolah itu dilanjutkan sehingga 26 Oktober ini berikutan pihak sekolah mengesan masih ada kes yang timbul membabitkan kontak rapat.

"Jadi lanjutan penutupan itu dibuat bagi proses nyahkuman atau sanitasi dilakukan pihak sekolah," katanya.

Razman menegaskan ibu bapa tidak perlu panik dan juga tiada keperluan untuk memendekkan baki tempoh persekolahan tahun ini berikutan hanya beberapa sekolah sahaja yang bergejala.

"Di Perak kita ada lebih 1,000 sekolah namun hanya beberapa sekolah sahaja yang bergejala terpaksa ditutup.

"Justeru tiada keperluan untuk memendekkan tempoh baki persekolahan bagi sesi tahun 2020 dan juga tiada perubahan dasar dibuat diperingkat kementerian," katanya ketika ditemui media selepas meninjau projek membaik pulih dan pelebaran jalan di lima lokasi di Gunung Semanggol bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kerian.

RAZMAN (dua kanan) bersama Kuganeswaran (dua kiri) meninjau kerja pelebaran dan naik taraf jalan. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
RAZMAN (dua kanan) bersama Kuganeswaran (dua kiri) meninjau kerja pelebaran dan naik taraf jalan. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Hadir sama Jurutera Daerah, N. Kuganeswaran.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, projek baik pulih dan pelebaran jalan itu membabitkan kos RM2 Juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 6 November.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 12:09 PM