Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Sabah meluaskan kawalan jangkitan Covid-19 di semua Pusat Tahanan Sementara (PTS) di negeri ini berikutan penularan pandemik itu di PTS Kota Kinabalu, di Manggatal, di sini, yang mencetuskan Kluster Rumah Merah minggu lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kawalan jangkitan turut dilaksanakan di PTS Papar dan Tawau bagi mengekang penularan Covid-19 di PTS terbabit.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, bagi PTS Kota Kinabalu, saringan secara bersasar membabitkan sebahagian tahanan dan anggota keselamatan yang bertugas di PTS terbabit turut dilaksanakan.

"Mereka semua dikuarantin di dalam PTS. Kerajaan juga memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di PTS terbabit bermula 3 November hingga 16 November ini," katanya dalam kenyataan media laporan harian Covid-19 Sabah, di sini.

PTS Kota Kinabalu yang merekodkan lebih 100 kes positif Covid-19 adalah lokasi kedua dikenakan PKPD di Kota Kinabalu selepas Penjara Kepayan, sebelum ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah, berkata, PKPD di PTS Kota Kinabalu membabitkan 1,820 tahanan dan 114 kakitangan.

"Semua aktiviti keluar masuk ke pusat tahanan serta lawatan ahli keluarga adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPD," katanya.

PTS menempatkan tahanan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.

Sementara itu, Masidi berkata, bermula semalam, Kementerian Kesihatan turut meneruskan penempatan doktor dan jururawat bagi memenuhi keperluan hospital di negeri ini.

"Seramai tiga pegawai perubatan pakar akan ditempatkan di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan, manakala 12 pegawai perubatan di Hospital Tawau dan Hospital Queen Elizabeth (HQE) serta sembilan jururawat ditempatkan di Hospital Tawau,.

"Sehingga hari ini, bantuan sumber manusia yang diterima Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) adalah seramai 43 pegawai perubatan pakar, 150 pegawai perubatan dan 255 jururawat tetap serta kontrak," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 9:41 AM