Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Dua lagi kluster baharu Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan Kluster Hentian membabitkan daerah Hulu Langat dengan kes indeks 18,664 dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu dan sudah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

Katanya, pengesanan kontak rapat juga sudah dijalankan KKM dan mendapati enam lagi kes positif daripada kluster berkenaan.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 127 individu sudah disaring dengan tujuh kes dilaporkan positif manakala 120 individu lagi masih menunggu keputusan saringan," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster kedua adalah Kluster Bukit membabitkan daerah Melaka Tengah, Alir Gajah dan Jasin di Melaka.

Beliau berkata, kes indeks bagi kluster ini adalah kes ke-17,531 yang dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 13 Oktober lalu dan sudah dimasukkan ke Hospital Melaka.

Menurutnya, saringan kontak rapat sudah mengenal pasti 14 lagi kes positif dan sehingga jam 12 tengah hari ini, 89 individu sudah disaring dan 15 kes positif dikesan.

"Saringan itu juga mendapati 73 individu negatif manakala seorang saja masih menunggu laporan saringan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, setakat hari ini, sebanyak 31 kluster aktif masih direkodkan di dalam negara dengan Kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 135 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes direkodkan 184 kes.

Beliau berkata, Kluster Auto di Selangor dan Negeri Sembilan membabitkan Petaling, Klang, Kuala Langat dan Seremban merekodkan 41 baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 50 kes.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Kluster Benteng LD, Kluster Tujuh Serangkai di Sabah dan Kluster Tembok di Kedah merekodkan satu kematian manakala kluster lain tiada kematian baharu dicatatkan hari ini.

"Pesakit dari Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster, Kluster Ramai-Ramai dan Kluster Tembok masih memerlukan bantuan alat pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 6:53 PM