GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sabah mencatatkan angka kes tertinggi iaitu 488 kes baharu positif Covid-19 berbanding negeri lain, hari ini.

Tiga kluster baharu dari negeri itu turut menyumbang angka berkenaan iaitu Kluster Surat (22 kes), Kluster Kasih (15 kes) dan Kluster Khazanah (13 kes).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selebihnya iaitu sebanyak 438 kes lagi dikesan daripada lain-lain saringan Covid-19.

"Keseluruhannya sebanyak 561 kes baharu yang dilaporkan hari ini termasuk lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Daripada 553 kes penularan di dalam negara, 494 kes adalah warganegara Malaysia dan 59 kes adalah bukan warganegara.

"Daripada 553 kes penularan di dalam negara, 11 kes pula pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu sebanyak 353 kes," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media maya mengenai perkembangan terkini Covid-19 menerusi Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Katanya, Selangor mencatatkan 25 kes baharu iaitu 11 kes daripada kluster sedia ada; lima kes saringan kontak rapat kes positif, tiga kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Sungei Way serta masing-masing dua kes daripada saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah; saringan individu bergejala dan saringan pra-pembedahan.

"Kedah ada 16 kes iaitu 15 daripada saringan Kluster Tembok dan satu kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19.

"Kuala Lumpur ada lapan kes iaitu empat daripada kluster baharu Kluster Sungei Way, dua kes daripada saringan kontak rapat kes positif dan masing-masing satu kes saringan kendiri Covid-19 dan saringan bergejala Covid-19," katanya.

Di Labuan katanya, ada lima kes iaitu tiga kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah, satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Bundle dan satu kes saringan masuk hospital di Hospital Labuan.

Menurutnya, negeri lain yang mencatatkan kes baharu positif Covid-19 ialah Johor (tiga kes), Melaka (tiga kes), Terengganu (tiga kes) serta Perak dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan satu kes.

Berkenaan lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara ialah masing-masing Indonesia (tiga kes), China (dua kes), Singapura (satu kes), Kemboja (satu kes) dan Arab Saudi (satu kes).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 8:20 PM