Mohamed Farid Noh

Pasir Gudang: Pekan Masai, dekat sini, lengang susulan kebimbangan penduduk selepas arahan penutupan beberapa premis termasuk dua sekolah serta dua pasar awam berkuat kuasa semalam dan hari ini.

Ia susulan terdapat kes positif Covid-19 dikesan di Sekolah Kebangsaan (SK) Masai 9 September lalu, menyebabkan Kementerian Pelajaran (KPM) mengarahkan sekolah berkenaan ditutup tujuh hari bermula semalam.

Tinjauan mendapati kenderaan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru memasuki sekolah berkenaan dipercayai bagi proses sanitasi dan nyah cemar.

Pekerja swasta, Taufik Ismail, 44, berkata, dia kini tidak membenarkan isteri dan tiga anaknya keluar kecuali untuk ke sekolah.

Katanya, semua urusan termasuk pembelian barangan keperluan diuruskannya sebaik media melaporkan mengenai penularan wabak Covid-19 di sebuah sekolah di Masai.

"Selepas terdapat beberapa kes jangkitan Covid-19 di SK Masai sehingga pasar awam dan beberapa sekolah di sini diarah tutup, penduduk mula risau.

"Ramai penduduk bimbang untuk keluar ke tempat awam dan hanya keluar bila perlu sahaja, " katanya.

Semalam media melaporkan, SK Masai diarah ditutup seminggu selepas terdapat kes Covid-19 dikesan di sekolah berkenaan, Jumaat lalu.

Akibat penutupan sekolah berkenaan, Sekolah Agama As-Syakirin juga mengeluarkan arahan penutupan sekolah seminggu sebagai langkah berjaga-jaga manakala Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) turut mengarahkan penutupan sementara dua pasar awam iaitu Pasar Awam Masai dan Pasar Muafakat Sabah@Johor, mulai hari ini sehingga Sabtu depan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, seorang jurukimpal, Ibnu Hashim, 56, diarahkan bercuti sementara oleh majikannya berikutan kebimbangan terhadap penularan wabak itu di kawasan berkenaan.

Keadaan Pekan Masai lengang susulan kebimbangan penduduk sekitar selepas arahan penutupan beberapa premis termasuk dua sekolah serta dua pasar awam di kawasan berkenaan berkuatkuasa semalam dan hari ini berikutan terdapat kes positif COVID-19 yang dikesan di Sekolah Kebangsaan (SK) Masai 9 September lalu. FOTO ZAIN AHMED
Keadaan Pekan Masai lengang susulan kebimbangan penduduk sekitar selepas arahan penutupan beberapa premis termasuk dua sekolah serta dua pasar awam di kawasan berkenaan berkuatkuasa semalam dan hari ini berikutan terdapat kes positif COVID-19 yang dikesan di Sekolah Kebangsaan (SK) Masai 9 September lalu. FOTO ZAIN AHMED

Ibnu yang berasal dari Labuan, Sabah berkata, majikannya mengeluarkan arahan cuti sementara sebagai langkah berjaga-jaga apatah lagi tempat kerjanya menggaji pekerja warga asing yang agak ramai.

"Majikan bimbang jika penularan wabak menjejaskan pekerja dan syarikat pula menyebabkan arahan cuti sementara dikeluarkan.

"Anak saya juga diarahkan bercuti dari sekolah minggu ini berikutan sekolahnya bagi mengurangkan risiko penularan wabak.

"Saya berharap, tidak cuti terlalu lama kerana perlu menanggung keluarga dan membayar pelbagai bayaran bulanan selain membeli keperluan keluarga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 3:15 PM