BOMBA mengeluarkan mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA mengeluarkan mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI maut akibat lemas selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam parit di Jalan Kunci Air Satu, Kampung Hujung Permatang, di Kuala Selangor, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun meninggal dunia di lokasi akibat lemas selepas tertindih di bawah kereta itu.

Difahamkan, mangsa memandu bersendirian dan dalam perjalanan dari Kuala Selangor menghala ke Tanjong Karang sebelum kenderaan itu hilang kawalan

Ia terbabas lalu terjunam di dalam parit berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang Penolong Penguasa Bomba Azmi Abbas berkata, sebaik terima panggilan kecemasan pada 8.08 pagi, pihaknya segera ke lokasi kejadian.

“Bomba mengambil masa kira-kira10 minit untuk tiba dan kita mengerahkan 16 anggota di lokasi kejadian bagi usaha menyelamat.

“Setibanya di lokasi, didapati ada kereta terjunam ke dalam parit. Mangsa, seorang lelaki yang tertindih di bawah kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.57 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 2:32 PM