GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Seorang mangsa bot karam ditemui lemas di kedudukan 23 batu nautika barat daya Kuala Selangor, pada 11.40 pagi, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mangsa ditemui KD Mahamiru yang melakukan pencarian pada hari ketiga.

"Mayat mangsa dibawa ke Jeti Kuala Selangor oleh bot RH16 (Pasukan Polis Marin) untuk siasatan lanjut.

"Identiti mayat juga belum dikenal pasti. Tiga mangsa belum dijumpai dan operasi akan diteruskan sehingga jam 7 malam ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sektor pencarian di Tanjung Sepat membabitkan kawasan 94 batu nautika persegi manakala di Kuala Selangor 214 batu nautika persegi.

Mohammad Rosli berkata, pencarian membabitkan sebuah pesawat udara, lima bot dari agensi sahabat, malah pencarian turut mendapat bantuan unit drone daripada badan bukan kerajaan (NGO).

"Pesawat APMM AS 365N3 masih melakukan pemantauan di lokasi kejadian, namun tiada sebarang penemuan dilaporkan," katanya.

Semalam, media melaporkan empat individu hilang manakala tiga selamat dalam dua kejadian bot karam berasingan di perairan Selangor.

Kejadian pertama membabitkan bot nelayan tempatan Kelas C yang karam akibat dipukul ribut di kedudukan 23.08 batu nautika muara Kuala Selangor.

Kejadian kedua pula membabitkan sebuah bot fiber karam pada jarak kira-kira 2.9 batu nautika di perairan Tanjung Sepat, Selangor, dilaporkan jam 5.25 petang Khamis.

Berita berkaitan

  • 2 bot karam, 3 selamat, 4 hilang
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 5:08 PM