Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Dakwaan mengenai 13 Menteri Kabinet positif Covid-19 adalah berita palsu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, setakat ini hanya seorang Menteri Kabinet yang didapati positif Covid-19, seperti yang sudah diketahui umum.

"Menteri lain berada di rumah masing-masing kerana menjalani kuarantin wajib berikutan kontak rapat dengan menteri yang positif.

"Berita yang keluar mendakwa 13 Menteri Kabinet positif Covid-19, inilah berita palsu yang tular dalam media sosial dan banyak lagi berita palsu lain," katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sentiasa komited menangani penyebaran berita palsu dan tindakan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang melakukan perkara ini sehingga menyebabkan panik kepada orang awam seterusnya menimbulkan kekecohan kepada negara.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan berita yang tidak sahih tanpa mengira latar belakang.

"Sehingga 8 Oktober (hari ini), sebanyak 270 kertas siasatan dibuka oleh PDRM dan SKMM berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 133 masih dalam siasatan, 35 kes sudah didakwa di mahkamah, 19 mengaku salah dan 12 diberikan notis amaran," katanya.

MESYUARAT khas MKN berkenaan Covid-19 di Bangunan Perdana Putra, 3 Oktober lalu. FOTO Bernama
MESYUARAT khas MKN berkenaan Covid-19 di Bangunan Perdana Putra, 3 Oktober lalu. FOTO Bernama

Menurutnya, dalam masa yang sama sebanyak 384 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

"Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan sentiasa menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita daripada sumber yang rasmi atau boleh dipercayai.

"Sekiranya terdapat sebarang berita yang diragui kesahihannya, salurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihannya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 5:27 PM