Isma Ismail dan Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 683 individu ditahan semalam berbanding 643 individu hari sebelumnya kerana ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merangkumi 598 individu yang direman dan 85 individu dijamin polis.

Menurutnya, seramai 978 individu juga dituduh di mahkamah atas kesalahan ingkar PKP.

"Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam adalah sebanyak 22,432 individu

"Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan sebanyak 828 sekatan jalan raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 633,821 kenderaan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA

Ismail Sabri berkata, sebanyak 40,601 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,203 premis diperiksa oleh pihak berkuasa.

"Selain itu, sehingga 28 April lalu, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka sebanyak 249 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19.

"Daripada jumlah itu sebanyak 169 masih dalam siasatan, manakala 26 kes telah didakwa di mahkamah dan 15 mengaku bersalah," katanya.


Beliau berkata, Pasukan Respons Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) juga ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

"Semenjak mula beroperasi mulai 24 Mac lalu, setakat ini sebanyak 243 penafian berita palsu telah dibuat oleh PRP.

"Salurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 3:49 PM