Isma Ismail dan Yusmizal Dollah Aling


PENYEBARAN berita palsu ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak mengenal siapa termasuk Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mendedahkan perkara itu ketika sidang media harian di Putrajaya hari ini, beliau berkata, ada pihak tertentu menyebarkan berita bahawa beliau akan bersiaran secara eksklusif di TV3 semalam.

Namun katanya, semakan yang dibuat oleh setiausaha akhbarnya mendapati tidak ada sebarang temubual ekslusif dan beliau terpaksa membuat penafian berhubung perkara itu.

"Berita palsu ini saya pun kena. Semalam terdapat berita kononnya saya akan bersiaran secara ekslusif di TV3, tetapi bila saya semak dengan setiausaha akhbar, dia pun tidak tahu.

"Jadi saya perlu membuat penafian berhubung perkara itu," katanya.

Menurutnya, sehingga 8 Mei 2020, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah membuka sebanyak 262 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19.

PUTRAJAYA 05 MAY 2020. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
PUTRAJAYA 05 MAY 2020. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Katanya, sebanyak 179 masih dalam siasatan, manakala 29 kes sudah didakwa di mahkamah dan 11 diberikan notis amaran serta 18 lagi sudah mengaku bersalah.

"Melalui Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang juga ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19, sebanyak 263 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu diperjelaskan kepada orang ramai.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-89115103 atau portal sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 3:10 PM