GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan bantuan data Internet sebanyak 10GB untuk pelajar B40 institusi berkenaan mengikuti sesi pendaftaran dan pembelajaran sesi 2020/2021.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM Prof Dr Durishah Idrus berkata, bantuan itu diperuntukkan kepada lebih 6,500 pelajar berdasarkan permohonan yang dibuat.

"Seramai kira-kira 3,500 pelajar baharu daripada golongan B40 pada sesi pengajian 2020/2021 layak memohon bantuan pelan data Internet percuma ini.

"Menerusi pelan data Internet percuma ini, penerima akan mendapat akses tanpa had ke laman web dan aplikasi yang ditetapkan termasuk Zoom, Cisco Webex dan UTM e-learning yang boleh digunakan selama dua bulan.

"Jika ada keperluan untuk menambah kuota apabila kehabisan data, ia akan ditentukan kemudian berdasarkan keperluan.

"Pelan data ini sudah diagihkan sejak 9 Jun lalu untuk fasa pertama hingga ketiga dan membantu seramai 2,500 pelajar B40," katanya pada sidang media di UTM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, UTM dilaporkan menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama di kampus Skudai dan Kuala Lumpur.

Pejabat Naib Canselor UTM dalam kenyataannya memaklumkan semua pelajar tidak perlu hadir ke kampus untuk membuat pendaftaran dan pembelajaran.

Seramai 8,177 pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dijadual mendaftar pengajian yang sebelum ini dijadual pada 10 hingga 13 Oktober ini.

Ditanya berapa ramai pelajar yang masih kekal di kampus UTM Skudai pada masa ini, Durishah berkata, buat masa ini, terdapat 1,276 pelajar lama membabitkan pelajar ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda selain pelajar antarabangsa di situ.

Beliau berkata, pelajar yang memerlukan bantuan juga dibantu menerusi pelbagai inisiatif termasuk UTM Prihatin.

Menurutnya, bagi pelajar yang mempunyai masalah kewangan, mereka boleh membuat permohonan bantuan kewangan melalui Unit Wakaf, Unit Zakat, Unit Endowmen dan Unit Alumni UTM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 5:17 PM