UTM Skudai
UTM Skudai
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama di kampus Skudai dan Kuala Lumpur.

Pejabat Naib Canselor UTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua pelajar tidak perlu hadir ke kampus untuk membuat pendaftaran dan pembelajaran.

Pelajar boleh melakukan pendaftaran secara dalam talian sehingga ke satu tarikh yang dimaklumkan kemudian berikutan perkembangan terkini Covid-19 yang semakin meningkat.

"Selain itu, Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) untuk pelajar baharu juga akan dijalankan secara dalam talian.

"Pelajar yang sudah hadir ke kampus akan dibantu untuk penempatan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Menurut kenyataan berkenaan, sebarang maklumat lanjut dan terkini berhubung semester 1 2020/2021 akan dimuat naik dari semasa ke semasa dan boleh diperoleh menerusi https://www.utm.my/faq-pp-sem-1-2020-2021/ atau pelajar juga boleh menghubungi talian hotline 01118687022 (8.30 pagi - 4.30 petang, Ahad - Rabu; 8.30 pagi - 3.00 petang, Khamis).

"Sehubungan dengan itu, pemakluman rasmi yang dikeluarkan pada 25 September lalu dan pekeliling berkaitan oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) adalah terbatal.

"Semua pelajar diingatkan untuk sentiasa peka terhadap sebarang pemakluman terkini dan mematuhi arahan ditetapkan dalam menangani pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 3:36 PM