Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Cheras: Polis menahan dua lelaki dipercayai mempunyai kaitan berhubung pencemaran air mentah di Sungai Batang Benar, Nilai.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek berusia 20 dan 30 ditahan di Kota Bharu, Kelantan tengah hari semalam.

"Dua suspek kini sedang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk diambil keterangan dan siasatan.

"Kita baru terima perkara ini (tangkapan) dan kita tidak boleh terburu-buru dalam menjalankan siasatan," katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Terdahulu, Acryl merasmikan Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersil dan Pelancaran Portal dan Aplikasi Semak Mule.

Ahad lalu, sebanyak 309,687 akaun pengguna di 274 kawasan membabitkan empat daerah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang di Selangor berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elena Baseri, dilaporkan berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan daripada insiden pencemaran itu.

Semalam, polis sudah mengenal pasti suspek kes pencemaran Sungai Batang Benar dan kini dalam proses menahan individu berkenaan.

POLIS menjalankan siasatan di Kawasan Perindustrian Nilai Jalan Emas yang yang disyaki menjadi punca pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi. FOTO arkib NSTP
POLIS menjalankan siasatan di Kawasan Perindustrian Nilai Jalan Emas yang yang disyaki menjadi punca pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi. FOTO arkib NSTP

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman dilaporkan berkata, suspek bukan penduduk tempatan, sebaliknya berasal dari negeri lain.

"Siasatan dijalankan menurut Seksyen 430 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam," katanya.

Berita berkaitan

  • Dalang 'air bangkai' dikenal pasti
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 11:01 AM