GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Ismail


Segamat: Seorang lelaki kerugian RM228,494 selepas diperdaya sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamzry Marinsah berkata, mangsa pada mulanya tertarik dengan tawaran sindiket itu selepas menerima mesej daripada nombor telefon tidak dikenali.

"Mangsa kemudian muat turun aplikasi Acs Shop yang diperkenalkan oleh suspek. Seterusnya mangsa ditawarkan pekerjaan iaitu perlu menaikkan 'rating' penjual di syarikat dengan membuat pembelian barangan dan akan peroleh komisen.

"Bermula dari Januari sehingga Mac lalu, mangsa membuat bayaran untuk 20 tugasan berjumlah RM228,494 dengan 20 transaksi ke dalam 16 akaun bank yang berbeza," katanya dalam kenyataan, hari ini

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa sehingga kini tidak mendapat wang dan komisen yang dijanjikan sebelum menyedari sudah diperdaya lalu membuat laporan polis.

Justeru katanya, polis menyarankan orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan suspek menerusi portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pautan https://CCID.RMP.Gov.my/semak mule atau boleh memuat turun aplikasi semak mule dalam Google Play Store sebelum membuat sebarang transaksi.

Katanya, sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID infoline 0132111222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 8:20 PM