Gambar fail, Ismail Sabri. FOTO Bernama.
Gambar fail, Ismail Sabri. FOTO Bernama.
Maiamalina Mohamed Amin dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: "Hanya KKM (Kementerian Kesihatan) yang boleh keluarkan surat perintah orang kena kuarantin atau mengesahkan orang positif Covid-19, bukannya kita," kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menyelar tindakan pihak yang menyebar maklumat pesakit Covid-19 dan kontak rapat kepada pesakit hingga ada antaranya maklumat palsu.

Menurutnya, perbuatan itu salah di sisi undang-undang, apatah lagi sebarang butiran lanjut mengenai pesakit dan kontak Covid-19 dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

"Saya tak faham sekarang ini kita pula yang tentukan orang kena kuarantin itu semua. Akhir-akhir ini pula banyak keluar gambar, nama pesakit Covid-19 yang bukan dikeluarkan KKM.

"Setengahnya itu palsu, tak betul, sebagai contoh Exco Kerajaan Pahang yang didakwa positif, rupanya tidak betul dan ujiannya mendapati dia negatif.

"Saya nasihatkan jangan sebarkan berita yang bukan kita menentukan kerana KKM yang tahu individu disaring mereka," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas MKN berkenaan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, beliau enggan mengulas mengenai status Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad yang didakwa positif Covid-19.

Ismail Sabri juga mengingatkan orang ramai bahawa maklumat berkenaan pesakit Covid-19 hanya boleh didedahkan KKM sahaja dan tidak boleh dikongsikan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 4:17 PM