FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menjelaskan setakat ini tiada keperluan untuk mewujudkan pusat kuarantin di Pulau Omadal, Semporna.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, penduduk Pulau Omadal yang dikenal pasti positif Covid-19 sebaliknya dihantar ke pusat kuarantin yang sedia ada di daerah terbabit.

Beliau berkata, setakat ini, penduduk Pulau Omadal yang sudah disaring dan didapati positif Covid-19 dihantar ke pusat kuarantin dan rawatan di Bubul Ria, Semporna, manakala penduduk yang dikuarantin kerana kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

"Bantuan bakul makanan oleh kerajaan negeri juga diselaraskan dengan segera oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Semporna.

"Sehubungan itu, tiada keperluan setakat ini untuk mengadakan Pusat Kuarantin dan rawatan di pulau terbabit," katanya dalam satu sidang media khas perkembangan Covid-19 di Sabah, di sini, hari ini.

Semalam, media sebelum ini melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keperluan sama untuk mewujudkan pusat kuarantin di pulau terbabit akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini berikutan susulan terdapat dakwaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) enggan mengambil risiko untuk menguruskan pesakit Covid-19 yang tidak mempunyai dokumen, namun menetap di pulau berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 9:39 PM